Perukis Slideshow

Nukilan Terkini

16 August 2009

Tiada istilah ‘bohong sunat’

Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri...

Masih ingatkah lagi pantun lama ini? Sejak kecil, kita sering diajar bahawa bohong adalah perbuatan yang tidak baik atau dalam istilah yang paling mudah difahami, “bohong itu jahat”. Namun dalam kehidupan seharian, terutamanya bagi orang dewasa, bohong kadangkala menjadi suatu perkara yang biasa yang tidak dapat dielakkan. Namun, betulkah kita memang tidak dapat mengelak daripada berbohong?

Mengapa berbohong? Jawapan yang paling tepat, kerana mahu menyelamatkan diri sendiri daripada sesuatu keadaan! Yang biasa berlaku, kita tersepit dalam sesuatu situasi dan situasi itu berlaku kerana kelalaian atauy kesalahan sendiri. Sekiranya kesulitan itu berlaku kerana kesilapan orang lain, tentulah kita tidak berbohong kerana kita dapat mencari pihak lain untuk diletakkan kesalahan itu.

Tetapi sebaliknya apabila kesalahan itu berpunca daripada kita sendiri, maka kita terpaksa mereka-reka alasan supaya kita tidka dipersalahkan. Apabila ‘terlalu bijak’, mereka-reka alasan, maka terjadilah pembohongan. Nampak mudah, bukan?

Bohong bermaksud memberitahu susuatu yang tidak benar dan kita tahu bahawa hal itu tidak benar. Atau dengan kata lain, berdusta. Dari sudut pandangan Islam, sudah tentu hukumnya haram. Jika kita memberitahu orang sesuatu perkara yang kita sendiri tidak tahu bahawa hal itu tidak benar, perbuatan itu bukanlah bohong namanya.

Jangan Berbohong

Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Saya dengar Rasulullah SAW bersabda, “Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat. Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina. Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah SAW berwasiat kepadanya, “Hanya dengan satu perkara: ‘Laa Takzib! (Jangan berbohong!).’ Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu. “Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab: Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum,” fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.”

Kalangan orang munafik

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya. (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah).” (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada hadis yang disebutkan di atas, dapat kita fahami bahawa pembohong dikategorikan sebagai seorang munafik dan tempat mereka dalam neraka paling bawah. Maka wajar jika Rasulullah SAW menyatakan bahawa berdusta atau berbohong itu termasuk dalam dosa besar.
Dalam hadis riwayat Abdullah Umar, Rasulullah SAW pernah menegaskan mengenai empat sifat orang munafik iaitu:

Apabila diamanahkan, dia mengkhianati amanah itu
Apabila bercakap, dia berbohong
Apabila berjanji, dia mungkiri
Apabila berkelahi, dia berlaku zalim atau melampau-lampau

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, Rasulullah AW bersabda yang bermaksud, “Benar itu membawa kebaikan dan kebaikan tiu membawa ke syurga. Yang bercakap benar, akan ditulis benar, yang bohong akan mendorong seseorang itu kepada kejahatan. Kejahatan itu akan membawa seseorang ke neraka dan apabila orang itu bercakap bohong, maka dia akan ditulis sebagai seorang yang pembohong.”

Selain itu, hayati juga firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud, “Jangan kamu mengikuti sesuatu kamu tidak tahu mengenainya. Pendengaran dan penglihatan serta hati – semua anggota itu akan tetap ditanya mengenai segala yang dilakukannya.”

Oleh itu, secara moralnya, jika kita tidak tahu sesuatu perkara dengan jelas atau tidak sahih akan kebenarannya, jangan pandai-pandai bercakap apa-apa, kerana kita berkemungkinan boleh ditudih berbohong.

Bohong yang dibolehkan

Walaupun pada prinsipnya, berbohong hukumnya haram, tetapi dalam keadaan tertentu, Islam memberikan kelonggaran. Namun, ia bukan dalam konteks yang terlalu ketat. Rasulullah SAW ada menyatakan, seseorang yang berbohong dengan niat ingin mendamaikan orang lain atau untuk tujuan kebaikan dalam masyarakat, dia tidak dikira berbohong. Dalam suatu riwayat, Ibnu Kalsum berkata, beliau tidak pernah mendengar Rasulullah SAW memberi kelonggaran untuk bercakap dalam hal yang tidak betul, kecuali dalam tiga perkara :

Ketika peperangan
Untuk mendamaikan anggota masyarakat atau organisasi yang bertelagah
Dalam perhubungan suami isteri

Dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah r.a., sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik.” (Hadis riwayat Bukhari)

Umat Islam pada hari ini masih lagi terumbang-ambing, lemah, miskin dan berpecah belah meskipun Islam sesungguhnya amat menggalakkan perpaduan, kesatuan, persefahaman dan keharmonian dalam kehidupan sejagat. Dalam erti kata lain, Islam melarang umatnya bergaduh, berperang apalagi bertengkar sesama sendiri sehingga melibatkan perbuatan mencederakan, membunuh dan sebagainya. Inilah sebabnya mengapa Islam memuliakan seorang manusia yang berusaha untuk mendamaikan orang yang bertelagah meskipun terpaksa dilaksanakan dengan cara menipu (perkara yang harus) demi menjalinkan semula ikatan persaudaraan tersebut agar keadaan kembali menjadi aman dan damai.

Begitu juga untuk menjaga akidah, sekiranya seseorang dipaksa untuk mengucapkan sesuatu yang berlawanan dengan akidah, maka dia boleh berbohong. Namun, pembohongan itu dengan syarat, hatinya tetap dalam Islam. Hal ini mengingatkan kita kepada kisah yang menimpa Ammar Yassir yang terpaksa mengaku kembali menyembah berhala apabila dia diseksa teruk dan selspas melihat ibunya Sumayyah dan bapanya, mati ditikam Abu Jahal kerana mempertahankan akidah. Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai kedudukan Ammar selepas itu, menyatakan bahawa Ammar tetap terpelihara akidahnya kerana dia dipaksa berbuat begitu dan hal itu di luar kerelaannya.

Berkata Imam an-Nawawi yang mengulas hadis ini, “Hadis ini dengan jelas telah mengharuskan beberapa bentuk pendustaan jika ada maslahah/kepentingan. Para ulama telah membuat batasan bagi pembohongan yang diharuskan. Batasan yang terbaik ialah yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali yang menjelaskan; percakapan ialah jalan untuk mencapai maksud-maksud tertentu. Jika suatu maksud yang baik dapat dicapai dengan berkata benar, tidak harus lagi berdusta kerana pendustaan tidak diperlukan ketika itu. Namun jika maksud yang baik itu tidak ada cara untuk mencapainya melainkan dengan berbohong, maka ketika itu berbohong adalah harus jika maksud yang ingin dicapai itu hukumnya adalah harus. Jika maksud itu wajib, maka berdusta ketika itu juga wajib (kerana tidak ada cara lain lagi untuk mencapainya).

Contohnya ada seorang muslim bersembunyi dari seorang lelaki zalim dan kita mengetahui tempat persembunyiannya. Kemudian si zalim itu bertanya kita tempat lelaki muslim itu bersembunyi. Ketika itu wajib kita berbohong (yakni tidak harus kita bercakap benar dengan memberitahunya). Contoh lain kita ada menyimpan barang milik seseorang muslim, lalu ditanya tentangnya oleh seorang zalim yang ingin merampasnya, maka wajib kita berdusta untuk menyembunyikannya (bagi mengelak ia dirampas). Malah kata Imam al-Ghazali, jika kita memberitahu si zalim itu dan barang itu dirampasnya, wajib kita menggantikannya.

Namun langkah yang lebih berhati-hati ialah dengan kita melakukan at-Tauriyah iaitu berselindung, yakni tidak secara direct berdusta/berbohong. Maksud at-Tauriyah ialah kita bercakap dengan bahasa yang zahirnya nampak macam berdusta, tetapi secara terselindung (yakni biat di hati) kita tidak berdusta. (Lihat; al-Azkar, Imam an-Nawawi, kitab Hifzul-Lisan. *Terjemahan dilakukan secara bebas).

Suami isteri berbohong

Berbohong antara suami isteri pula, hanya dalam keadaan tertentu sahaja, maksudnya dalam perkara yang tidak menyentuh prinsip. Umpamanya, suami memuji masakan isteri kerana ingin ambil hati isteri, sedangkan masakan isterinya tidak kena langsung dengan seleranya. Atau isteri puji suaminya kacak, walaupun hakikatnya suami tidak setampan mana. Tetapi asalkan dengan niat menjaga keharmonian rumahtangga dan eratkan hubungan suami isteri, hal itu dibenarkan.

Kelonggaran dalam berbohong diistilahkan terutamanya oleh orang Melayu sebagai ‘bohong sunat’. Hakikatnya, dalam Islam tiada istilah ‘bohong sunat’, yang ada hanya kelonggaran yang diharuskan dalam keadaan tertentu. Sekiranya dapat mengelak daripada bohong, hal itu lebih digalakkan. Justeru, kelonggaran yang diberi atau dibenarkan untuk berbohong harus digunakan secara tepat untuk menyelesaikan hal rumahtangga.

Namun sebenarnya ramai yang menggunakan kelonggaran ini untuk tujuan yan gsalah. Umpamanya suami berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri dan mengambil pendekatan ‘bohong sunat’, kononnya supaya mereka suami isteri tidak bertelagah.

Berbohong satu pengkhianatan

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya, “Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berbohong ialah menyampaikan sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan sebenarnya. Gejala pembohongan adalah amat keji dan sangat dibenci apalagi yang dibohongi itu adalah orang ramai, maka sudah tentu bahaya dan dosanya lebih berat. Oleh itu Islam menganggap perbuatan berbohong atau berdusta adalah satu perbuatan munafik. Selaku ibu bapa adalah tidak wajar untuk membohongi anak-anak dengan alasan untuk memujuk mereka atau menahan mereka daripada sesuatu kemarahan. Hal ini kerana ia akan menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa menjadikan segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan tidak berkesan.

Jangan dibudayakan

Dalam konteks hubungan majikan atau ketua denga para pekerja, bohong boleh berlaku jika majikan tidak menjelaskan hal sebenarnya mengenai pentadbiran syarikat yang merosot. Tetapi jika majikan berbuat demikian kerana tidak mahu para pekerja bimbang dan pada masa yang sama ingin mencari jalan untuk membaiki keadaan, hal itu dianggap satu kelonggaran.

Namun sekiranya keadaan gagal dikendalikan, tidak wajar majikan atau ketua terus berbohong dan menyembunyikan hal sebenar keran itu seperti menganiaya pekerja.

Tidak kurang juga yang sering berlaku dalam organisasi, perbalahan sesama pekerja yang mungkin akan membawa mudarat jika tidak ditangani dengan segera. Justeru, jika pembohongan tertentu dapat menyelamatkan keadaan dan mewujudkan keharmonian sesama pekerja, ia dibolehkan.

Namun, bohong jangan dibudayakan kerana ia lambat-laun akan merosakkan keharmonian dan boleh meruntuhkan masyarakat. Walaupun ada kelonggaran berbohong, jika boleh dielakkan, adalah lebih baik dielakkan!

Baca Seterusnya......

Amalan Yang Terbalik

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. di mana Rasulullah s.a.w. telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan dia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik?

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan diberi jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan pada bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Makkah dan apabila balik dari Tanah Suci tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibu bapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah SWT tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masya-Allah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah s.a.w.: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari)

Baca Seterusnya......

Pesona Ayat Suci Al-Qur'an

Rasulullah SAW pernah meminta sahabatnya yang bernama Abdullah bin Mas'ud supaya membaca al-Qur'an di hadapannya. Sebagaimana diketahui Ibnu Mas'ud adalah sahabat Nabi yang terkenal dengan qira'ahnya yang bagus dan lagu serta suaranya amat merdu.

Ibnu Mas'ud membaca beberapa ayat dari surat an-Nisa'. Tetapi setelah sampai ayat 41, maka Rasulullah meminta Ibnu Mas'ud supaya berhenti, kerana air matanya telah bercucuran terharu.


Ayat an-Nisa' 41 itu artinya : "Betapa dahsyatnya keadaan di kala itu (hari akhirat), bila Kami (Allah) menghadirkan seorang saksi bagi setiap ummat, dan engkau (Muhammad) Kami hadirkan juga sebagai saksi bagi mereka."

Rasulullah tak tahan mendengar ayat itu. Bagaimana kalau dia menjadi saksi kelak bagi ummatnya yang ramai yang sudah rosak moralnya, bagaimana pula dia dihadirkan sebagai saksi bagi ummatnya yang kafir derhaka dan apakah dia tahan melihat ummatnya yang derhaka itu dihalau oleh malaikat ke neraka? Semuanya itu terbayang di pelupuk matanya, dan kerana itu beliau menangislah. "Cukup, cukup, sampai di sini wahai ibnu Mas'ud" kata Rasulullah kepada sahabatnya yang ahli qira'ah lagi bersuara merdu itu. Ya, beliau terharu dan hatinya tersentuh.

Fudhail bin 'Iyad, yang kemudian menjadi ulama besar, pada mulanya selagi masih muda adalah seorang jahil yang terpesona kepada seorang perempuan. Pada suatu malam dia mendatangi kekasihnya itu. Tetapi setelah dia melompat pagar rumah sang gadis, tiba-tiba dia melihat sang gadis sedang membaca al-Qur'an, mengumandangkan ayat al-Qur'an surah al-Hadid ayat 16 yang ertinya :

"Apakah belum tiba waktunya bagi orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan mengingat kebenaran apa yang diturunkan-Nya (al-Qur'an) dan janganlah mereka seperti ahli kitab sebelum mereka, telah lama mereka berpisah dari ajaran Nabinya, sehingga hati mereka menjadi kasar (tidak tembus cahaya kebenaran), dan kebanyakan mereka menjadi orang fasik."

Setelah mendengar ayat ini dituturkan oleh sang gadis dengan suara yang merdu, maka Fudhail mundur dan mengurungkan niat jahatnya. Dan semalaman dia merenungkan peringatan Allah itu bagi hamba-Nya yang beriman. Jiwanya berbisik, "Bila lagi engkau akan insaf? dan bertaubatlah segera sebelum ajal datang menjemput, ya sebelum terlambat, wahai Fudhail!".

Demikian, kemudian dia bertaubat dan berusaha membina dirinya menjadi seorang muslim sejati, dan berkat tekun belajar, dia menjadi ulama besar yang cukup terkenal. Kata-katanya banyak dikutip oleh pengarang.

Lain lagi dengan kisah Utbah al-Ghulam, seorang penjahat besar di negeri Basrah. Pada suatu hari dia mendengar pengajian di sebuah masjid Basrah. Waktu itu yang memberi ceramah agama adalah ulama besar Basrah yang amat terkenal, Syekh Hasan al-Bashry. Syekh Hasan kebetulan sedang menguraikan surat al-Hadid ayat 16 tersebut dengan sejelas-jelasnya, dan kemudian menyuruh hadirin terutama bagi orang-orang yang berdosa segera bertaubat. Menjawab pertanyaan seorang hadirin, apakah dosanya bisa diampuni Allah bila dia bertaubat, maka Syekh Hasan menjawab :
"Walaupun dosa anda sebesar dosanya Utbah al-Ghulam, Insya-Allah dosa anda akan diampuni bila anda bertaubat dengan sungguh-sungguh."

Tiba-tiba mendengar orang meraung dan kemudian dia jatuh pingsan dalam masjid itu. Dan rupanya yang pingsan itu adalah Uthbah bin al-Ghulam sendiri, sang penjahat terkenal.

Setelah sedar, dia bangkit mendekat sang guru, dan sang guru masih terus menasihatinya dari hati ke hati. Hasan berkata, "Bila anda tahan sentuhan api neraka, maka silakan terus melakukan kejahatan. Tetapi bila tidak, maka segeralah bertaubat! Dengan dosa-dosa yang kau lakukan itu bererti engkau telah menghina, membebani jiwamu sendiri, maka lepaskan dirimu dari dosa itu dengan bersungguh-sungguh!"

Nasihat sang guru besar, ulama terkenal itu, sungguh menyentuh hatinya, dan kemudian dia bertaubat kepada Allah dengan taubatan nasuha. Dan setelah bertaubat, dia mengangkat kedua tangannya dan menengadahkan kepalanya sambil berdo'a kepada Allah yang antara lain berbunyi :

"Tuhanku, jika Engkau telah menerima taubatku dan mengampuni dosaku, maka berilah aku kehormatan dengan kedalaman pengertian tentang agama-Mu dan lekas menghafal apa yang Engkau baca dan aku dengar, sehingga aku dapat menghafal ilmu dan ayat-ayat al-Qur'an. Berilah aku kurnia dengan suara yang indah dan mempesona, sehingga barangsiapa yang mendengar bacaan qira'atku hatinya bertambah tersentuh walaupun dia sebelumnya berhati kasar. Tuhanku, berilah aku kemuliaan dengan rezeki yang halal, dan berilah aku rezeki yang datangnya tak terduga."

Alhamdulillah, do'anya makbul dan terjadilah keanehan pada dirinya. Ada saja rezeki berupa roti yang diantarkan orang ke rumahnya setiap hari, tanpa diketahui siapa yang mengantarkannya. Demikian itu berlangsung terus sampai akhir hayatnya. Begitulah Allah mengabulkan do'a hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dalam taubatnya.

Kisah masuknya Umar bin Khaththab ke dalam Islam adalah kisah yang patut direnungkan. Sebagaimana diketahui, Umar bin Khaththab adalah tokoh terkemuka di Arab di masa jahiliyah. Mulanya dia sangat menentang ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhhamad. Tetapi kemudian melalui proses yang unik dia akhirnya menjadi orang terkemuka Islam, bahkan menjadi khalifah ke dua setelah Abu Bakar as-Siddiq.

Dimana pada suatu ketika dia dengan pedang terhunus ingin menikam Rasulullah dengan para sahabatnya yang masih sedikit, yang sedang dibina Rasulullah di rumah Arqam bin Abil di Shafa. Di tengah jalan dia ditegur seseorang bahawa sebelum menindak orang lain lebih baik dia menyelesaikan urusan keluarganya sendiri terlebih dahulu. Orang itu menyampaikan kepada Umar bahwa adik kandungnya sendiri bersama suaminya telah menganut Islam menjadi pengikut Nabi Muhammad SAW. Umar lantas berbelok ke rumah adiknya, Fatimah, dan kebetulan sedang membaca al-Qur'an. Dengan serta merta Umar menunjukkan kemarahannya dengan memukul adik dan iparnya sendiri.

Kebetulan di tangan Fatimah ada lembaran Kitab Suci al-Qur'an yang baru saja dibacanya. Umar merenung adiknya dan meminta supaya lembaran itu diberikan kepadanya. Tetapi Fatimah menolak dengan alasan "Anda adalah najis, yang haram menyentuh lembaran suci ini,"jawab Fatimah. Kerana rasa ingin tahunya sangat besar, maka dia mandi dan kemudian lembaran suci itu diberikan adiknya, Fatimah, kepada Umar. Dan setelah membaca beberapa ayat dari surah Thaha, hati Umar menjadi lembut dan tersentuh dengan ayat-ayat tersebut. Ia kemudian masuk Islam.

"Kami bukan menurunkan al-Qur'an kepadamu untuk menyusahkan dirimu. Melainkan menjadi peringatan bagi orang yang takut Tuhannya. Dia turun dari dzat yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi Ar-Rahman (Allah) itu bersemayam di atas singgasana 'arsy. Kepunyaan-Nya segala apa yang ada di antara keduanya, dan apa-apa yang ada di bawah petala bumi. Jika engkau keraskan perkataan, Dia mengetahui apa yang dirahsiakan dan apa yang lebih tersembunyi. Allah, tidak ada tuhan kecuali Dia. Bagi-Nya ada beberapa nama yang indah." (Q.S. Thaha: 1-8).

Setelah itu barulah dia pergi dengan pedang terhunusnya ke rumah Arqam mencari Rasulullah. Mulanya para sahabat curiga dan dengan kewaspadaan yang penuh untuk menerima segala kemungkinan. Tiba-tiba Umar memeluk Rasulullah dengan sekaligus mengucapkan dua kalimah Sahadah sebagai tanda dia memeluk Islam. Semuanya mengucapkan alhamdulillah dan bertakbir tanda syukur kepada Allah atas islamnya Umar.

Demikian sepintas kisah-kisah yang menarik tentang pesona ayat-ayat suci al-Qur'an yang berguna untuk pertambahan iman hamba-hamba Allah yang ingin bersujud kehadirat-Nya sebagai hambaNya yang ingin berjalan lurus menurut jalur-jalur Kitab Suci al-Qur'anul Karim.
Baca Seterusnya......

ILMU DAN TUNTUTANNYA

Muqaddimah

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على اشرف الانبياء والمرسلين وعلى اله واصحا به اجمعين

Melangkah ke bumi Anbiya' dengan niat untuk menuntut Ilmu kerana Allah swt. bermakna kita telah menanggung satu tugas yang berat.

Firman Allah taala :
ولولا نفر من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا فى الدين ولينذروا قومهم اذا رجعوا اليهم لعلهم يحذرون
Maksudnya :
"Hendaklah ada di kalangan mereka satu golongan yang keluar untuk memahami agama dan memberi peringatan kepada kamu mereka apabila pulang kepada kaum mereka, mudah-mudahan mereka beringat." (At-Taubah : 122)

Kewajipan Setiap Muslim
Tuntutan (التفقه فى الدين) bukan setakat berjaya membawa segulung ijazah semata, sebaliknya kita juga mestilah :

Mampu menguasai ilmu (التعمق فى الدين )

Memahami (الفهم به )

Mengamalkannya (العمل به )

Menyampaikan kepada masyarakat (الدعوة به )

Mengubah Masyarakat kembali kepada Islam yang sebenarnya (اصلاح المجتمع )

Dr. Yusof Qardawi di dalm bukunya (واجب الشباب المسلم اليوم ) telah menggariskan
bahawa , empat kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap individu muslim ialah:-

Memahami Islam (فهم السلام )
طلب العم فريضة على كل مسلم و مسلمة
"menuntut ilmu adalah diwajibkan ke atas individu muslim mahupun muslimah"

Beramal dengan Islam (العمل به )
يأيها الذين آمنوا وعملواالصالحات
"Wahai orang-orang yang beriman dan beramal soleh/ kebaikan"

Menyampaikan Islam (الدعوة به )
ادعو الى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة
"Serulah kepada agama tuhanmu dengan hikmah serat bertimbang rasa dan perangi mereka dengan sebaiknya "

Berjamaah (الترابط )
التزم جماعة المسلمين و امامهم
"Berpeganglah kamu dengan jamaah muslimin dan kepimpinannya "


Pada keseluruhanya ia adalah berhubungkait antara satu sama lain, di mana kita tidak akan dapat mengamalkan Islam tanpa memahami apa itu Islam terlebih dahulu.
Baca Seterusnya......

Masa



BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Demi Masa!

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.


Ambillah masa untuk berfikir, itu adalah sumber kekuatan.
Ambillah masa untuk bermain, itu adalah rahsia dari masa muda yang abadi.
Ambillah masa untuk berdoa, itu adalah sumber ketenangan.
Ambillah masa untuk belajar, itu adalah sumber kebijaksanaan.
Ambillah masa untuk mencintai dan dicintai, itu adalah hak istimewa yang diberikan Tuhan.
Ambillah masa untuk bersahabat, itu adalah jalan menuju kebahagiaan.
Ambillah masa untuk tertawa, itu adalah musik yang menggetarkan hati.
Ambillah masa untuk memberi, itu adalah membuat hidup terasa bererti.
Ambillah masa untuk bekerja, itu adalah nilai keberhasilan.
Ambillah masa untuk beramal, itu adalah kunci menuju syurga.

Masa itu
Kurniaan Ilahi
Untuk kita menikmatinya
Hargai ia tiap ketika
Agar kita tak kesal nanti

Masa …tidak menunggu kita
Kejarlah ia sepenuh daya
Dengan berhikmah serta waspada
Agar kita tak ketinggalan

Masa itu ibarat emas
Nilainya tinggi tidak terhitung
Andai dicuri hilanglah ia
Tidak mungkin kembali lagi

Masa juga ibarat pedang
Sentiasa menanti untuk mencantas
Andai terleka musnahlah kita
Nescaya dicantas olehnya

Ingat semua
Pesanan Ilahi
Manusia ini sentiasa rugi
Kerna tak pandai hargai masa
Sentiasa kita ditinggal olehnya

Masa yang lalu
Tak mungkin kembali
Walau dirayu diratap hiba
Walau dipujuk walau ditangisi
Tak mungkin ia berpatah kembali

Hanya yang pasti
Perlu dihargai
Masa kini yang sudah nyata
Suburkan ia, jagalah ia
Dengan iman,ilmu dan takwa


Masa itu ibaratnya emas
Nilainya tinggi tidak terhitung
Andai dicuri, andainya hilang
Nescaya tidak beroleh lagi


Masa jua ibaratnya pedang
Sentiasa menanti untuk mencantas
Andai terleka andai terlalai
Nescaya kita dicantas olehnya

Masa yang lalu
Yang telah pergi
Tak mungkin akan berulang lagi
Jangan diratap,jangan ditangisi
Kerna semua salah sendiri

Apa yang pasti
Perlu dinanti
Masa hadapan yang kabur lagi
Mungkinkah ada mungkinkah tidak
Hanya Allah yang tahu jawabnya

Oleh itu ingatlah semua
Hargai masa tak kira di mana
Isilah dengan iman dan takwa
Nescaya kita mendapat rahmatNya……
Baca Seterusnya......

CERMINLAH DIRIMU ANAK KU

Anakku cerminlah dirimu sebelum kamu disuruh mencermin diri mu. Lihat dirimu didalam cermin. Apa yang kau lihat. Dapatkah kau memahami dan menerangkan dengan kata-kata apa yang terbayang dihadapan mu. Ingatlah anakku. Jangan kau tertipu. Apa yang kau lihat hanyalah sisi sana wajah mu.

Apa itu SISI SANA WAJAH MU. Ayuh berhenti membaca catatan ini anak ku biar ku terangkan apa kah itu sisi sana wajah mu. Cuba kau ambil sehelai kertas yang mempunyai coretan. Bolehkah kau membacanya.
Sekarang bawalah kertas itu kehadapan bingkai cermin yang kau tatap sebentar tadi. Dapatkah kau baca tulisan itu didalam bingkai kaca tersebut. Tidak mudah bukan!!. Apa yang kau lihat didalam cermin itu sebanarnya merupakan pandangan sisi sebelah sana lembaran tulisan itu.

Sekarang sudah faham bukan apa itu sisi sebelah sana wajah mu di dalam cermin. Lihat semula dirimu didalam cermin. Apa yang kau lihat.
Wajah yang bujur sirih
Wajah yang hitam legam!!??.
Wajah yang bulat putih gebu!!??
Wajah yang berseri, ada pancaran di mata yang dianugerahkan Allah!!??

Ingat anakku bukan itu yang kau kusuruh perhatikan. Kau ku suruh melihat lebih jauh kedalam dari wajah yang kau nampak. Lihat kedalam hati mu. Putih bersihkah. Hitamkah tebalkah salutan sifat mahmudan atau mazmumah. Tidak apa anak ku nanti akan ku bicarakan akan hal ini dengan lebih halus lagi.

Sekarang marilah kita kembali kepada apa yang kita bicarakan anak ku. Cerminlah diri mu. Ini bukan sindiran anak ku jauh sekali kejian.. sesiapa yang terasa cili apa mambaca catatan ini silalah bermuhasabah diri apabila terasa pedasnya.

Satu pesan ku kepada anak-anakku. Jika kau lihat wajah yang hitam legam, Nampak hodoh dimata manusia di dunia. Kita siapa yang berani sungguh memberi markah kepada ciptaan tuhan. Hakikatnya dalam setiap ciptaan ilahi itu ada tersembunyi keindahan dan ujiannya. Dalam hitam itu ada manisnya. Dalam legam itu akan datang dengan serinya. Hanya akan kelihatan jika kita basahkan dengan zikir dan kilatkan dengan Iman yang tinggi kepada allah. Semakin tinggi iman yang kau miliki, semakin serilah wajah yang kononnya hitam dan legam itu.

Seperkara lagi anak ku, jangan sekali-kali kau persoalkan tindakan tuhan . jangan kau tangiskan Kada dan Kadar tuhan terhadap mu. Kau tidak tahu apa rahsia yang Allah sembunyikan dari mu. Kau tidak tahu apakah hikmah disebalik ujian yang ditimpakan kepada mu. Jadi apa pilihan mu. Satu kecewa dengan takdir yang ditimpakan kepada mu: menangis siang dan malam mengenang nasib diri tanpa mampu mengubah apa-apa dan biarkan diri terus hanyut ke lubuk kegagalan atau dua, kau lihat hidup ini dengan penuh keyakinan akan Kudrat serta Iradat Allah , dan melangkah terus mengharungi hidup ini dengan penuh gagah dan semangat dengan bergantung harap kepada Allah dengan merayu serta merintih didalam doa dan memohon agar Allah menguatkan tali simpul mu dengan Allah.

Anak ku, jika lihat wajah didalam cermin itu yang putih gebu. Jangan rasakan diri dah hebat. Sudah anggun dan tercantik hingga rasa layak untuk menjadi sombong dan takabur. Kerana disisi Allah cantik itu tiada sekelumitpun makna kerana itu hanyalah bersifat sementara: merupakan ujian dalam bentuk fitnah dunia, jika kau tergelincir, ruginya tidak lain selain dari kau juga. Anakku, yang putih gebu itu lagi mudah nampak buruknya jika tidak disiram dengan zikrullah dan dibasuh dengan air sembahyang.

Ingat anak ku, putih gebu itu sebarangan jadinya. Itulah merupakan ujian Allah yang amat mudah menyesatkan manusia. Hidup ini hanya ada dua pilihan tidak ada pilihan ketiga. Pilihan pertama pilihlah jalan yang lurus. Jalan yang ditunjukkan Allah. Walaupun kelihatannya penuh ranjau dan berduri, tapi itu hanyalah fatamorgana semata. Itu hanyalah bayangan dan biasan bertujuan untuk melemahkan jiwa. Jika kau dapat kuatkan jiwa dan tidak putus-putus mohon perlindungan Allah, rintangan yang kau lihat itu mudah kau terjah dan harungi dengan mudah.

Pilihan kedua, kelihatannya jalan itu luas terbentang, penuh dengan keindahan yang mengamit jiwa. Hakikatnya anakku itulah seburuk-buruk jalan. Penuh dengan ranjau sepanjang jalan yang menyesakkan jiwa. Semakin jauh kau memasukinya, semakin kau hilang punca dan merasakan kekontangan jiwa dan berserabut kepala yang semakin bertambah dari masa kesemasa. Itulah jalan ke neraka yang tidak menjanjikan keuntungan atau kejayaan sebaliknya hanyalah menjanjikan kerugian dan kesesatan semata.

Baca Seterusnya......

10 fitrah manusia cantik


1. Membetulkan misai. Lelaki yang menyimpan misai harus memastikannya dalam keadaan terurus dan digunting apabila perlu agar ia sentiasa kelihatan kemas dan bersih. Jika perempuan tumbuh misai, maka wajiblah dibuang.

2. Menjaga janggut. Menyimpan janggut adalah salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w. Bagaimana pun, dalam masa yang sama ia mesti dijaga rapi.


3. Memendekkan kuku. Segala kotoran tidak melekat serta memudahkan air sembahyang sampai ke celah-celah kuku jika ia dipendekkan.

4. Membersihkan sendi tangan. Memastikan celah-celah jari serta tangan sentiasa digosok dan dibersihkan sebagaimana yang dianjurkan semasa mengambil wuduk.

5. Membersihkan sendi kaki. ia boleh dilakukan semasa mengambil wuduk atau semasa mandi.

6. Kebersihan hidung. Dengan beristinsyaq atau menyedut air ke dalam hidung dan menghembuskannya. Selain membersih, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung.

7. Mencabut dan membersihkan bulu ketiak. Islam tidak menggalakkannya dicukur kerana ia akan menyebabkan bulu ketiak cepat tumbuh dan lebih kasar.

8. Kebersihan mulut. Dengan menggosok gigi atau bersiwak ketika berwuduk, sebelum solat, ketika mulut berbau, ketika masuk rumah, bangun tidur dan ketika hendak belajar.

9. Mencukur bulu ari-ari. Islam tidak menggalakkan dicabut kerana akan mengendurkan otot-otot di sekitarnya.

10. Mencebuk air. (mandi dan membasuh bahagian sulit). Wanita diwajibkan berdehem semasa membuang air kecil agar ia tidak bersisa.

Baca Seterusnya......