Perukis Slideshow

Nukilan Terkini

09 July 2009

RAMADHAN:,BULAN RAHMAT,,BERAMAL SOLEH DAN BERPUASA

Email Oleh : newsforwarder®™

Bulan Ramadhan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat. Ditamsilkan juga seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Perbuatan yang hidup dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan seperti hujan April yang turun pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya. (The Risale-i Nur Collection, Letters, The Twenty-Ninth Letter).

Seperti yang diungkapkan Bediuzzaman Said Nursi kepada kita melalui kalimat yang indah ini, bulan Ramadhan mempunyai kuasa suci bagi perayaan umat Islam. Umat Islam yang bertakwa dan hidupnya sentiasa mencari keredhaan Allah tidak akan mengabaikan kewajipannya untuk berpuasa sepanjang bulan ini dengan penuh semangat dan keghairahan.

Puasa, seperti yang diwajibkan Allah "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183) dan "...berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al-Baqarah: 184) merupakan tugas yang tidak ternilai faedahnya bagi umat Islam. Kewajipan yang dilaksanakan oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan mereka yang bertebaran di serata alam. Kenyataan ini berdasarkan dengan aktiviti yang dilakukan bersama-sama ini sekaligus menguatkan kekuatan spiritual. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut:

"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah... " (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).

Berpuasa menjadi peluang keemasan bagi orang beriman yang benar-benar takutkan Allah dan kesempatan dimanfaatkan untuk mendekatkan diri pada-Nya. Melaksanakan perintahnya dengan bersabar menahan lapar sepanjang hari selepas melewatkan sahur dan sebelum menyegerakan berbuka menjadi bukti menuntut keredhaan Allah. Disebabkan itulah, orang Islam yang istiqomah mencari keredhaan Allah akan meraikan bulan ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Sepanjang bulan ini juga umat Islam akan memastikan setiap langkahnya dipenuhi dengan amalan-amalan yang diturunkan Allah selain menunaikan yang diwajibkan.

Tidak kurang juga mereka yang tidak mengamalkan hidup secara Islami di hari lain akan mengubah perilaku dengan berpuasa sepanjang Ramadhan. Ini kerana mereka percaya Allah akan membersihkan dan menyucikan kesalahan mereka dengan menunaikan kewajipan ini. Dengan itu, secara tidak langsung bulan ini bermakna seseorang itu akan mendekati agamanya dan meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukannya.

Bulan ini juga sesungguhnya telah menurunkan kadar jenayah dengan peratusan yang tinggi di seluruh negara Islam. Penipuan, pengkhianatan, fitnah dan umpat mengumpat akan ditinggalkan kerana mereka menyedari akan larangan ketika berpuasa. Semangat dan keazaman mereka untuk berfikir dan melakukan perbuatan baik juga meningkat. Dalam erti kata lain, berpuasa seperti memandu mereka untuk berfikir sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung di minda mereka. Bagi sesetengah individu pula, bulan ini digunakan untuk berehat sambil melakukan amal yang soleh dan perbuatan mulia.

Di dalam kalimat yang lain, Bediuzzaman Said Nursi menerangkan bagaimana semua pancaindera orang berpuasa beralih arah dalam pengabdian:

Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa ialah dengan menjadikan semua pancaindera dan organ seperti mata, telinga, hati, dan fikiran turut sama berpuasa bersama-sama perut. Dengan ini akan mengelakkannya dari melakukan perkara yang sia-sia dan mendorongnya melakukan amalan pengabdian.


Salah satu hikmah dari berpuasa ialah membolehkan seseorang itu menzahirkan kesyukuran di atas segala rahmat yang Allah limpahkan. Musibatlah bagi mereka yang menggunakan sewenangnya rahmat Allah tetapi tidak tahu untuk berterima kasih pada yang memberi. Bagi mereka semua rahmat ini merupakan hak yang memang patut diterimanya. Allah banyak menyarankan kepada hamba-Nya di dalam Al-Quran supaya sentiasa bersyukur di atas rahmat yang dikurnai-Nya. Allah juga berjanji akan melipatgandakan rahmat bagi mereka yang bersyukur.

Orang yang berpuasa juga akan dilindungi Allah dari segala hasutan syaitan untuk melupakan manusia dari bersyukur. Mereka yang tidak pernah merenung untuk berfikir berapa banyak kurniaan yang telah Allah turunkan akan mula mengucapkan syukur berulang kali di atas segala peluang dan kesihatan yang dikecapinya. Bediuzzaman Said Nursi megatakan bahawa berpuasa di bulan Ramadhan adalah "kunci kepada kebenaran, keikhlasan, kemuncak dan kesejagatan syukur".

Tambahan pula, mereka yang berpuasa akan merasai betapa kerdilnya dirinya di hadapan Allah dan memahami betapa perlunya dirinya kepada Allah. Segala desakan nafsunya menjadi lemah dan kesombongannya bertukar luntur. Memetik dari buku Bediuzzaman Said Nursi:

Bulan Ramadhan akan mengubah jiwa naluri seseorang. Dari sekaya-kaya menjadi semiskin-miskin kerana memahami bahawa harta itu bukan miliknya malah kepunyaan semua orang. Dirasakan juga dirinya tidaklah merdeka tetapi adalah hamba. Diketahui sekiranya tidak diterima sebarang arahan, tidak akan berupaya melakukan sebarang kerja mudah dan senang ibarat tidak dapat menyentuhkan tangan ke dalam air.

Selain pelbagai faedah yang diperolehi dari berpuasa, kesabaran juga antara karakter yang boleh dipupuk dan meyakini kesengsaraan itu mendidik untuk memajukan seseorang. Sebab itulah Bediuzzaman Said Nursi mengatakan: "puasa itu merupakan penawar bagi mereka yang kurang kesabaran dan kurang ketahanan walaupun digabungkan masalah dua orang dalam satu individu". Semua ganjaran yang Allah janjikan akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya. Semua ganjaran ini merupakan balasan di atas ketaatan kepada agama yang dilakukan dengan penuh semangat walaupun orang lain tidak tahu betapa payahnya ketika berhadapan dengan kelaparan ini.Apa yang dijelaskan tidaklah merangkumi semua faedah yang diperolehi dari bulan Ramadhan dan puasa. Ada banyak lagi kebaikan yang tidak kita ketahui atau tidak dihargai tetapi Allah tetap mengurniakannya pada kita di sebalik kewajipan puasa itu.

Baca Seterusnya......

Keajaiban Saintifik Al-Qur'an

Email Oleh : Wan
Oleh : Harun Yahya

Kewujudkan Alam SemestaPernah tidak kita berfikir bagaimana alam semesta yang kita duduki ini terbentuk. Lihat saja rumah kediaman yang sedang kita tinggal sekarang ini. Adalah mustahil kalau rumah tersebut jadi dengan sendirinya tanpa dibina terlebih dahulu.

Asal usul alam semesta diterangkan dalam Al-Qur'an dalam ayat berikut;

Dia adalah maha Pencipta langit dan bumi. Surat al-An'aam:101.

Maklumat yang dinyatakan dalam Al-Qur'an ini adalah satu fakta yang sangat tepat dan selari dengan penemuan sains kontemporari. Kesimpulan yang dicapai dalam bidang astrofizik sekarang ini ialah bahawa alam semesta, bersama-sama dengan dimensi benda dan masa, telah terhasil melalui satu letupan yang besar yang terjadi ketika masa-sifar. Fenomena ini yang dikenali sebagai Big Bang membuktikan bahawa alam semesta telah diciptakan dari ketiadaan sebagai satu produk, dari satu letupan titik tunggal. Golongan saintifik moden percaya bahawa Big Bang adalah satu-satunya penerangan paling diterima akal dan fakta yang dapat dibuktikan mengenai permulaan dan asal kewujudan alam semesta.

Sebelum fenomena Big Bang terjadi, tidak terdapat sebarang benda yang wujud. Dalam keadaan tanpa sebarang kewujudan kebendaan, tenaga atau masa, dan yang mana hanya dapat diterangkan secara metafizik, semuanya ini sebenarnya telah diciptakan. Fakta ini, yang baru diketahui melalui kajian dalam bidang fizik moden, telah dinyatakan dalam Al-Qur'an 1400 tahun lalu.

Pengembangan Alam Semesta

Dalam Al-Qur'an yang diwahyukan 1400 tahun lalu, ketika pengetahuan tentang astronomi masih sedikit, fakta mengenai pengembangan alam semesta telah diterangkan seperti berikut;

Dan langit itu Kami bina dengan kekuasaan (Kami) dan sesungguhnya Kami benar-benar meluaskannya. (Surah az-Dzariyat; 47)

Edwin Hubble

Perkataan 'langit' yang dinyatakan dalam ayat di atas digunakan dalam banyak tempat dalam Al-Qur'an yang bermaksud ruang angkasa dan cakerawala. Di sini sekali lagi, perkataan ini digunakan untuk maksud ini. Dalam perkataan lain, Al-Qur'an membongkar hakikat mengenai proses pengembangan alam semesta. Dan ini merupakan puncak kesimpulan yang diputuskan oleh dunia sains hari ini.

Sehingga penghujung abad ke 20, pandangan yang paling masyhur dalam dunia sains ialah bahawa 'alam semesta mempunyai sifat konstan (statik ataupun tidak berubah) dan telah wujud tanpa keterbatasan masa'. Kajian, pemerhatian dan pengiraan yang dijalankan melalui seluruh insfranstruktur teknologi moden, sebenarnya telah menunjukkan bahawa alam semesta telah wujud dalam masa yang terbatas dan berkembang secara konstan.

Pada permulaan abad ke 20, seorang ahli fizik Russia yang bernama Alexander Friedmann dan ahli kosmologi Belgium yang bernama George Le'maitre telah membuat pengiraan secara teori bahawa alam semesta adalah dalam keadaan pergerakan yang berterusan dan ia sebenarnya berkembang.

Fakta ini juga telah dibuktikan melalui data dari pemerhatian yang dijalankan pada tahun 1929. Edwin Hubble seorang ahli astronomi Amerika yang telah membuat pemerhatian di langit dengan menggunakan teleskop, mengisytiharkan bahawa bintang-bintang dan galaksi-galaksi bergerak menjauhi antara satu sama lain secara berterusan. Sebuah alam semesta di mana semua benda di dalamnya bergerak secara konstan menjauhi antara satu sama lain, jelas menggambarkan pengembangan alam semesta itu. Pemerhatian yang dijalankan dalam tahun berikutnya mengesahkan bahawa alam semesta adalah berkembang secara berterusan. Fakta ini telah di jelaskan dalam Al-Qur'an ketika mana hal ini masih belum lagi pernah diketahui oleh manusia. Ini adalah kerana Al-Qur'an adalah kalam serta petunjuk dari Tuhan, maha Pencipta dan Pemerintah bagi seluruh alam semesta.

Pemisahan Langit Dan Bumi

Sepotong ayat mengenai penciptaan langit dinyatakan sebagai berikut.

"dan apakah orang-orang kafir itu tidak melihat bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (satu unit penciptaan), kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakan mereka tiada juga beriman?". (Surah Al-Anbia: 30)

Kalimah 'ratq' diertikan sebagai dijahit yang bermaksud 'dikumpul bersama, dicampur' dalam kamus bahasa arab. Ianya digunakan untuk merujuk dua intipati yang berbeza yang membina suatu yang menyeluruh. Frasa 'Kami membuka jahitan; adalah perkataan fataq dalam bahasa arab dan menggambarkan bahawa sesuatu yang diwujudkan dengan membelah bahagian atau memusnahkan struktur ratq. Biji benih yang tumbuh bertunas dari tanah adalah satu contoh frasa ini.

Sekarang mari kita perhatikan sejenak ayat ini sekali lagi dengan menyimpan pemahaman ini di dalam minda. Di dalam ayat tersebut, langit dan bumi pada status pertamanya adalah berbentuk ratq. Kedua-duanya di pisahkan (fataqa) dengan kemunculan satu dari yang satu lagi. Apa yang menarik, apabila kita mengingati saat pertama fenomena Big Bang kita melihat bahawa satu titik tunggal mengandungi semua material alam semesta.

Dalam perkataan lain, setiap benda termasuk langit dan bumi yang masih belum diciptakan lagi, juga termasuk di dalam titik tunggal ini dalam keadaan ratq. Titik ini kemudiannya meletup dalam satu letupan yang besar, menyebabkan materialnya menjadi fataq dan proses ini membentuk keseluruhan struktur alam semesta. Apabila kita membandingkan pernyataan di dalam ayat Al-Qur'an di atas dengan penemuan saintifik, kita mendapati bahawa kedua-duanya berada dalam keserasian yang sempurna di antara satu sama lain. Apa yang cukup menarik perhatian ialah penemuan ini tidak diketahui sehingga abad ke 20.

Orbit

Ketika menerangkan mengenai bulan dan matahari dalam Al-Qur'an, ianya ditekankan bersama bahawa setiap satunya mempunyai laluan orbit tertentu;

Dia yang menjadikan malam dan siang, matahari dan bulan, setiap mereka berenang di falak (tempat peredarannya) . (Surah al-Anbiya; 33)

Dalam ayat lain dinyatakan juga bahawa matahari sebenarnya bukan objek yang statik tetapi juga mempunyai orbitnya tertentu;

Dan matahari beredar di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan yang maha Perkasa dan maha Mengetahui. (Surah Yaasin;38)

Fakta yang dikemukakan dalam Al-Qur'an ini telah ditemui melalui pemerhatian astronomi hari ini. Berdasarkan kepada kiraan pakar-pakar astronomi, matahari bergerak dalam kelajuan yang besar selaju 720, 000 km sejam mengarah ke bintang Vega dalam satu orbit tertentu dalam sistem Solar Apex. Ini bererti matahari bergerak sejauh 17,280,000 km sejam secara anggaran. Bersama-sama dengan matahari, dan semua planet dan satelit yang berada dalam lingkungan sistem graviti matahari (sistem solar) juga turut bergerak pada jarak yang sama. Sebagai tambahan, semua bintang dalam alam semesta adalah berada dalam satu persamaan pergerakan yang telah ditentukan.

Lanjutan hal ini, iaitu alam semesta dipenuhi dengan lintasan dan orbit telah dimaktubkan di dalam Al-Qur'an;

Demi langit yang mempunyai jalan-jalan. (Surah az-Dzariyat; 7)

Terdapat lebih kurang 200 bilion galaksi dalam alam semesta, yang mengandungi hampir 200 billion bintang setiap satu. Kebanyakan dari bintang-bintang ini mempunyai planet-planet dan kebanyakan dari planet ini mempunyai satelit. Semua objek-objek langit ini bergerak menepati orbit-orbit yang telah dicongak. Untuk berapa juta tahun, semuanya 'berenang' melintasi orbit masing-masing dalam keseimbangan dan susunan yang sempurna bersama-sama dengan yang lain. Selanjutnya, bilangan komet yang banyak juga bergerak bersama dalam orbit-orbit yang telah ditentukan untuk mereka.

Orbit-orbit dalam alam semesta bukan sahaja dimiliki oleh jasad-jasad langit ini, tetapi juga dimiliki oleh galaksi-galaksi yang bergerak pada kelajuan yang besar dalam orbit-orbit yang telah ditetapkan. Sewaktu dalam pergerakan, tidak ada satupun objek langit ini yang memotong orbit atau bertembung dengan objek lain.

Suatu yang pasti, ketika Al-Qur'an di turunkan manusia tidak mempunyai sebarang teleskop seperti hari ini atau teknologi pemerhatian yang maju untuk memerhati jutaan kilometer ruang angkasa, dan juga tanpa pengetahuan fizik atau astronomi yang moden. Dengan hal ini, ianya suatu yang mustahil ketika itu untuk menentukan secara saintifik bahawa ruang langit 'dipenuhi dengan lintasan dan orbit' seperti yang dinyatakan dalam Al-Qur'an. Bagaimanapun, hal ini secara jelas diterangkan kepada manusia dalam Al-Qur'an yang diwahyukan ketika itu -kerana Al-Qur'an sebenarnya adalah kalam Tuhan.

Sumber:Cina Islam
Baca Seterusnya......

HADITH HARIAN: Hutang

Email Oleh : Amier


Tajuk :
Hutang

BAB: Akhlak
Hadith : Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Berhati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan menyebabkan kehinaan di siang hari.” [
Riwayat al-Baihaqi ]

Huraian:
Pengajaran hadis:
i) Strategi pengawalan perbelanjaan adalah bergantung pada kesesuaian dan keperluan tertentu seseorang atau sesebuah keluarga. Pepatah ada mengatakan “ Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis”.

ii) Seharusnya setiap individu mengamalkan sifat ‘qanaah’ iaitu bersyukur dan redha dengan apa yang ada serta memastikan bahawa keperluan tidak melebihi kemampuan. Amalkan sikap berjimat cermat dan membuat simpanan (tabungan) bagi mencapai keselamatan ekonomi kerana orang yang mengamalkan sikap tamak dan boros sehingga sanggup berhutang bukan sahaja boleh meningkatkan inflasi malah membawa kemuflisan dan kepapaan.

iii) Hutang wajib dibayar sesuai dengan waktu yang dijanjikan iaitu tidak menangguh-nangguhka nnya. Adalah dikira berdosa bagi orang yang tidak mahu membayar hutangnya dengan sengaja walau bagaimana kecilpun hutang tersebut. Hal ini termasuk juga hutang yang berlaku dengan orang yang bukan Islam serta seseorang yang berhutang tetapi telah meninggal dunia dan belum sempat membayar hutangnya. Maka ahli waris si mati hendaklah berusaha untuk melangsaikannya.

iv) Islam selaku agama yang sempurna telah menyusun beberapa langkah mengenai proses berhutang di mana hutang yang dibuat hendaklah dicatat jumlah dan masa pembayarannya serta dilantik seorang penulis yang adil sebagai saksi. Ia bertujuan untuk mengelak dari sebarang penipuan dan penganiayaan.
v) Sesungguhnya melepaskan hutang orang menghutangi kita adalah suatu perbuatan yang mulia. Ganjaran yang besar menanti iaitu berupa naungan Arasy di akhirat kelak.

Sumber:Cina Islam

Baca Seterusnya......

HADITH HARIAN: Syura Dan Kepentingannya

Email Oleh : Amier


Tajuk :
Syura Dan Kepentingannya

BAB: Akhlak
Hadith : Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Sesiapa yang hendak melakukan sesuatu urusan umat Islam hendaklah bermesyuarat nescaya Allah memberikan taufiq bagi memperelokkan urusan mereka.” [Riwayat at-Tabrani]

Huraian:
Pengajaran hadis:
i) Dalam proses membuat keputusan, perkara yang paling asas ialah membuat perbincangan yang mengambil kira tentang nilai, matlamat dan sumber untuk melaksanakan sesuatu tindakan.

ii) Mengambil keputusan menerusi syura adalah lebih terjamin ketetapan dan kewajarannya. Ia berbeza daripada keputusan yang dibuat bersendirian di mana keputusan yang dibuat sering kali menimbulkan kesilapan dan sukar pula mendapat kerjasama yang ikhlas daripada orang yang terlibat.

iii) Dalam sesuatu amalan syura, kebenaran tidak diukur daripada suara ramai sahaja. Ini berbeza dengan pilihan raya di mana syura adalah interaksi pemikiran di kalangan orang yang berkeahlian bagi menghasilkan sesuatu pendapat dan pandangan yang benar. Sedangkan pilihan raya ialah proses bagi menentukan keinginan dan sokongan daripada kalangan rakyat terhadap sesuatu perkara atau seseorang yang dicalonkan untuk mewakili mereka. Oleh itu dalam syura suara majoriti bukanlah mutlak, tetapi yang diambil kira adalah hujah berdasarkan ilmu yang menzahirkan sesuatu kebenaran.

iv) Kebenaran yang mutlak datangnya daripada Allah. Oleh itu sekiranya manusia yang mengamalkan syura dalam lingkungan petunjuk Allah dan Rasul-Nya iaitu bermusyawarah serta menggunakan kaedah yang ditentukan Allah keputusan mereka akan lebih hampir kepada kebenaran. Ia cukup selamat dijadikan landasan untuk bertindak dan beramal.

Sumber:Cina Islam

Baca Seterusnya......

12 Barisan Di Akhirat

Email Oleh : Zamri Keciks

Suatu ketika, Muaz b Jabal ra mengadap Rasulullah SAW dan bertanya: "Wahai Rasulullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah SWT:

"Pada sangkakala ditiup,maka kamu sekalian datang berbaris-baris" Surah an-Naba':18
Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata.Lalu menjawab: "Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12
barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri...." Maka dinyatakan apakah 12 barisan tersebut :-

BARISAN PERTAMA
Di iring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini
dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih:
"Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA
Diiring dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: "Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KETIGA
Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. "Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah
balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEEMPAT
Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka."Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jualbeli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka..."

BARISAN KELIMA
Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT
menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.
"Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEENAM
Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. "Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KETUJUH
Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir
keluar nanah dan darah. "Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KELAPAN
Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas. "Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEMBILAN
Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara
dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. "Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEPULUH
Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta. "Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah
balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KESEBELAS
Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran. "Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat
kembali mereka adalah neraka..."

BARISAN KEDUA BELAS
Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka,datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan:
"Mereka adalah orang yang beramal salih dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga,mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih..."

Jika engkau mahukan kemesraan dengan Allah, maka garanglah terhadap dirimu
sendiri. Jika engkau merasakan manisnya berhubung dengan Allah, tahulah
engkau betapa peritnya berpisah denganNya.....Wallahua'alam.

WASSALAM.
Sumber:Cina Islam
Baca Seterusnya......

10 Hadiah Utama,yang sering dilupai utk org tersayang

Email Oleh : Zamri Keciks

Ini ialah senarai 10 hadiah yang paling senang dan sesuai diberikan kepada sesiapa sahaja yang kita kasihi ~ ibu, bapa, suami, isteri, saudara-mara, anak dan sebagainya. Contoh di bawah ini lebih menjurus kepada hubungan lelaki-wanita, sila ubahsuai jika ditujukan kepada orang lain. Pilihlah satu atau pun semua.

1. Hadiah Mendengar: Berikan hadiah ini kepada yang memerlukan, dan kamu hendaklah benar-benar mendengar apa yang dikatakan. Jangan mencelah, jangan berangan-angan dan jangan merancang bagaimana kamu hendak membalas.

2. Hadiah Tanda Kasih: Jangan kedekut memberikan pelukan, ciuman dan ramasan tangan. Biarkan tanda-tanda kecil ini tunjukkan kasih dan sayang yang ada di dalam diri kamu.

3. Hadiah Sehelai Nota: Ia mungkin ringkas seperti "Sayang Awak" atau sesuatu yang kreatif seperti sebuah puisi. Letakkan nota-nota ini di tempat yang tidak disangka oleh orang yang dikasihi.

4. Hadiah Ketawa: Berikan sesuatu yang melucukan seperti gambar kartun atau artikel. Mesejnya ialah, "Saya suka ketawa bersama awak."

5. Hadiah Puji-Pujian: Sesuatu yang simple seperti "Warna biru memang ngam dengan awak" atau "Sedap masakan awak" mempunyai nilai yang tinggi kepada orang yang mungkin merasa dia

6. Hadiah Bantuan: Tolong basuh pinggan mangkuk, buang sampah, jaga anak, dll.

7. Hadiah Bersendirian: Adaketika kita hanya mahu bersendiri. Peka kepada saat-saat itu dan berilah masa dan ruang untuk dia bersendiri.

8. Hadiah Keceriaan: Cubasedaya upaya supaya kita sentiasa ceria apabila bersama orang-orang yang dikasihi.

9. Hadiah Riadah: Sertai sesuatu sukan/aktiviti yang disukai oleh orang yang dikasihi. Kalah pun tak apa, kamu masih menang.

10. Hadiah Doa: Selalu berdoa untuk kesejahteraan orang-orang yang dikasihi dan beritahu mereka yang mereka setiasa berada di dalam doa kita.

Sumber:Cina Islam
Baca Seterusnya......

06 July 2009

Hukum fidyah puasa



laman blog salman maskuri

soalan dari email: assalamualaikum..

saye ade satu persoalan mengenai fidyah.
boleh ust tlg terang kan.. kaedah pembayarannya, dan adakah pelajar jugak termasuk dlm asnaf fuqara'?
(mohd ridzwan)

Jawapan:

Firman Allah swt:

وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين 

"Dan orang-orang yang diberati keatasnya dan tidak mampu berpuasa ; dia wajib membayar fidyah berupa makanan asasi kepada orang miskin." (148 : al-Baqarah)

Ibnu Abbas berkata dalam mentafsirkan ayat ini:

"Ia adalah orang laki dan perempuan tua yang tidak mampu untuk berpuasa hendaklah memberi makan setiap hari yang ditinggalkan puasa sebanyak satu cupak kepada orang miskin." (Hr Bukhari 4235)

Fidyah puasa diwajibkan kepada orang yang berikut:

1. Orang tua yang sudah tidak mampu berpuasa atau pesakit yang tidak mampu berpuasa serta penyakitnya tidak mungkin sembuh.

2. Orang yang hamil dan menyusukan anak dan berbuka puasa kerana takut sesuatu yang tidak elok berlaku kepada anaknya.

3. Orang yang wajib qada puasa dan sampai ke ramadan akan datang dia masih tidak menggantikannya. Fidyah akan berganda setiap tahun yang seterusnya jika masih tidak menggadakan puasa.

4. Orang yang sudah mati dan masih ada lagi puasa yang tidak diganti. wajib bayar fidyah dari harta peninggalannya (sebelum dibahagi2kan) sekiranya tidak ada waris yang hendak menggantikannya.

Setiap hari wajib bayar fidyah satu cupak makanan asasi (cth beras di malaysia) iaitu 600 gram kepada fakir dan miskin. Boleh dibayar banyak cupak kepada seorang fakir atau miskin. Boleh bayar ikut nilai mengikut mazhab Hanafi.

Fakir: orang yang tidak ada duit atau sedikit sgt (cthnya perlu sehari rm 10 tapi ada rm2).

Miskin: Orang yang hampir cukup keperluan hariannya. (cthnya perlu sehari rm 10 tapi ada rm 8)

utk penanya: Jika pelajar tadi ada kriteria fakir atau miskin diatas maka boleh beri kepada mereka.

Rujukan: al-Muktamad Fil Feqhis Syafie oleh Dr Muhammad Zuhaily.

Sumber:Cina Islam
Baca Seterusnya......